Aplikasi MyPerahu UMP perkasa aktivit sosioekonomi dan ekopelancongan nelayan

Aplikasi MyPerahu UMP perkasa aktivit sosioekonomi dan ekopelancongan nelayan

 

PEKAN, 7 September 2022 – Sekumpulan pensyarah dari Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah membangunkan aplikasi mudah alih MyPerahu sebagai salah satu langkah memperkasakan sosioekonomi dan ekopelancongan kepada komuniti nelayan.

Aplikasi Perikanan Rekreasi Mudah Alih untuk Nelayan (MyPerahu) kini sedang digunakan oleh nelayan di kawasan Setiu yang merupakan salah satu projek rintis program Universiti for Society (KPT-U4S) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-U4S).

Program ini turut melibatkan tiga IPT di pantai Timur iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam usaha membangunkan penduduk setempat.

Aplikasi MyPerahu mempunyai kelebihan melibatkan pengurusan profil data nelayan setempat, penggunaan rangkaian awan (cloud computing), servis penempahan perahu atau bot nelayan, maklumat pakej perikanan rekreasi dan sistem integrasi maklum balas pintar.

Fungsi pantas ini memudahkan nelayan untuk meningkatkan operasi dan aktiviti perikanan rekreasi yang selama ini dilaksanakan secara manual dan kurang berkesan.

Projek ini diketuai oleh pensyarah FK, Dr. Jamaludin Salim dan turut disertai Dr. Rozlina Mohamed, Dr. Yusnita Mohammad Noor, Dr. Suraya Abu Bakar dan Dr. Suhaila Abdul Hamid.

Menurut Dr. Jamaludin, projek MyPerahu telah dibangunkan sejak dua tahun lalu oleh penyelidik UMP dengan kos sebanyak RM40,000 yang diperoleh daripada geran KPT-U4S.

“Kerangka utama MyPerahu merangkumi keperluan komuniti nelayan setempat yang melibatkan aktiviti perikanan rekreasi di kawasan perairan dan kepulauan Setiu, Terengganu seperti Pulau Redang, Bidong, Perhentian dan beberapa muara sungai berhampiran,” katanya.

Menurut Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, secara khususnya objektif MyPerahu ini dapat mencapai sasaran dan inisiatif yang telah dirangka oleh Bahagian Kerjasama Industri dan Masyarakat (BKIM), KPT dengan kerjasama BKIM UMP.

Pihaknya berharap perkongsian kepakaran dalam kalangan penyelidik universiti kepada masyarakat ini dapat membuka lebih banyak peluang dan potensi meningkatkan sosioekonomi dan ekopelancongan yang lebih luas untuk dimanfaatkan nelayan setempat termasuklah dikembangkan ke lokaliti lain.

Manakala bagi Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu, Omar Ismail berkata, MyPerahu ini telah menunjukkan tanda yang sangat positif kepada penggunaan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai touch screen oleh nelayan tempatan.

Di samping itu juga, MyPerahu ini turut memudah cara aktiviti perikanan rekreasi dan mampu meningkatkan lagi penguasaan kemahiran serta celik pengetahuan ICT buat para nelayan.

Begitu juga dengan Salleh Yaakob yang merupakan salah seorang nelayan yang aktif di Setiu.

Beliau berpandangan MyPerahu ini wujud tepat pada masanya tatkala kebanyakan para nelayan kini sedang meneroka peluang dalam sektor pelancongan di lokasi tarikan dengan kehadiran ramai pelancong daripada dalam dan luar negara.

Pihak KPT turut memperkenalkan program IPT For Society@Keluarga Malaysia (UniTY) dengan menawarkan dana bagi penyelidik untuk membolehkan universiti membangunkan bidang kepakaran mengikut tujahan universiti membangunkan komuniti setempat berdasarkan pendekatan inovasi sosial.


Print   Email