UMP perhebat bantuan di musim peperiksaan

UMP perhebat bantuan di musim peperiksaan

PEKAN, 5 Julai 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperhebatkan bantuan buat pelajar yang tinggal di Residen Pelajar dan luar kampus demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar terutamanya di musim peperiksaan.

Pelaksanaan agihan makanan kepada pelajar secara percuma berbentuk sarapan pagi dan snek malam (Supper2Share: Free Supper) yang dijalankan Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar (PEKA) sebagai salah satu program dalam memberikan semangat serta meringankan beban buat pelajar menjelang musim Peperiksaan Akhir Semester 2 Sesi Akademik 2021/2022.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pihaknya prihatin terhadap isu kenaikan harga makanan pada masa ini.

“Justeru, pihak universiti akan memantapkan kawalan harga makanan dan sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar UMP yang kebanyakannya terdiri dalam golongan B40.

“UMP bakal memperkenalkan pakej harga makanan menang-menang dan menu harga bajet hasil kerjasama dengan pengusaha dan pelbagai pihak terbabit.

“Pada masa yang sama, kebajikan pihak pengusaha kafetaria turut dipelihara kerana mereka turut berhadapan dengan kenaikan harga barangan namun tetap perlu mengekalkan harga makanan pada kadar sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, pihak universiti akan terus mempergiat kemudahan UMP Kasih iaitu Kupon Makan untuk pelajar yang kesempitan.

Kemudahan ini membolehkan pelajar menggunakan aplikasi Adab@UMP untuk mendapatkan makanan secara percuma bagi yang layak di kafeteria kampus untuk semester akan datang.

Terdapat sembilan inisiatif atau kupon disediakan di bawah Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP termasuklah UMP Kasih, UMP Pek Kasih Sayang, UMP Campus Pantry, UMP: YAPEM dan UMP Iftar (setiap hari Isnin dan Khamis) di masjid UMP.

Lain-lain UMP Food For All, UMP Bakul Prihatin Yayasan, UMP Traveller dan UMP Karentina yang dianggarkan keseluruhannya melibatkan jumlah RM 5.6 juta ringgit sejak dilaksanakan dua tahun lalu.

Sehingga kini, lebih 4,000 pelajar UMP telah menerima manfaat melalui program sumbangan Food@Campus Keluarga Malaysia hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama agensi lain.

Selain itu, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan mengenai inisiatif penyediaan pakej makanan ‘Ready to Eat’ melalui teknologi retort di bawah inisiatif food@campus (UMP Campus Pantry) dengan kerjasama dengan pelbagai pihak terbabit.

UMP turut merangka pelan jangka masa panjang dengan membangunkan ‘Sustainable Campus Life Planning’ yang komprehensif meliputi pelan makanan, asrama, pengangkutan, peranti dan lain-lain.

Pada masa ini, menerusi Yayasan UMP turut menyediakan pelbagai bantuan khas kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan pelan data internet untuk meringankan beban pelajar dalam meneruskan pengajian.

Manakala cakna dengan kebajikan pelajar pula, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) turut menyediakan khidmat e-Kaunseling dan lain-lain bagi membantu pelajar agar tidak menjejaskan pengajian mereka.

Pelajar boleh berhubung dengan JHEPA dan pihak Residensi Pelajar untuk mendapatkan maklumat-maklumat bantuan yang disediakan oleh pihak universiti.


Print   Email