Persatuan MATAHARI sumbang komputer buat kemudahan anak-anak Tahfiz

Persatuan MATAHARI sumbang komputer buat kemudahan anak-anak Tahfiz

KUANTAN, 6 Februari 2022 – Cakna dengan pendidikan anak-anak Maahad Tahfiz Muhammadi (MAYAM) di Bukit Rangin, Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang (MATAHARI) menyumbang dua buah komputer dan mesin pencetak untuk kegunaan tenaga pengajar dan pelajar yang rosak disebabkan bencana banjir pada 18 Disember lalu.

Sumbangan telah disampaikan oleh Presiden MATAHARI, Datin Dr. Mazita Mokhtar kepada Pengetua MAYAM, Tengku Fathul Aziz Tengku Abd. Mutalib.

Menurut Datin Dr. Mazita, MATAHARI berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan peningkatan kemahiran teknologi maklumat dan era digital ketika ini.

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada agenda persatuan bagi membantu masyarakat yang memerlukan dalam apa jua cara.

“Usaha ini juga bukti keprihatinan dan rasa kasih sayang bersama masyarakat terutama kepada mereka yang ditimpa musibah,” ujarnya.

Selain itu, pihaknya mendoakan agar MAYAM akan menjadi salah satu pusat pendidikan yang akan melahirkan anak-anak generasi al-Quran pada masa hadapan.

Tengku Fathul Aziz mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang amat bermakna ini.

“Banyak barang yang musnah akibat banjir sedalam lebih 1.5 meter sehingga merosakkan harta benda termasuk komputer.

“Justeru, dengan sumbangan ini dapat digunakan dengan sebaiknya,” ujarnya.

MAYAM merupakan sebuah pusat Tahfiz yang ditubuhkan pada tahun 2010 dan menempatkan anak-anak yatim serta fakir miskin.

Sehingga kini maahad ini mempunyai 40 pelajar yang terdiri daripada 25 pelajar lelaki dan 15 pelajar perempuan.


Print   Email