Jelajah Prihatin UMP bantu komuniti Kerdau

Jelajah Prihatin UMP bantu komuniti Kerdau

TEMERLOH, 27 Jun 2022 - Jelajah UMP Prihatin bersama Komuniti Kerdau memberi peluang kepada pelajar dan staf universiti untuk turun padang mengadakan program kemasyarakatan setelah hampir dua tahun tertangguh kerana penularan COVID-19.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau itu melibatkan 20 orang sukarelawan UMP yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik serta melibatkan masyarakat setempat dari pelbagai peringkat umur.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti gotong-royong memasak bubur lambuk, pameran pendidikan dan membersihkan surau Kampung Kuala Tekal.

Turut berlangsung serahan sumbangan bantuan pek makanan Yayasan UMP dan penyerahan lampu solar bagi kegunaan di Masjid Kg. Kuala Tekal dan Ribath Al-Ba’alawi Kampung Kuala Tekal.untuk dimanfaatkan penghuni di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad merangkap ADUN Kerdau menzahirkan penghargaan kepada UMP dan semua agensi yang terlibat yang sama-sama memeriahkan program ini bersama komuniti di sini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pihak universiti mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Yang Berhrmat Dato’ Sri Syed Ibrahim yang memberikan kepercayaan dan jalinan kerjasama bagi menjayakan program ini.

“Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha bagi mengeratkan hubungan baik mendekatkan universiti dengan masyarakat setempat selari dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk di negeri ini,” katanya.

Program turut dijalankan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP pada tahun ini dan pada masa yang sama UMP sentiasa memberi pendedahan kepada pelajar agar tidak kekok dengan aktiviti kesukarelawanan di lapangan.

Selain sumbangan bubur lambuk buat penduduk di sini, UMP turut menyampaikan sumbangan bantuan keperluan makanan Yayasan UMP kepada 20 keluarga yang memerlukan.

Menurut anak kepada salah seorang penerima sumbangan, Juliana Abdul Razak, 30, pihaknya berterima kasih kepada UMP dan Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim yang hadir menyerahkan sumbangan katil bagi kemudahan ayahnya yang kini terlantar akibat kanser hati.

Selain UMP, antara agensi yang terlibat sama ialah BOMBA, Kolej Widad dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) yang mengadakan pameran pendidikan serta membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk masyarakat Kampung Kuala Tekal.


Print   Email