Sukarelawan UMP KILAU sertai Misi Kesukarelawanan Pascabanjir Baling

Sukarelawan UMP KILAU sertai Misi Kesukarelawanan Pascabanjir Baling

BALING, 8 Julai 2022 - Pasukan sukarelawan UMP KILAU seramai 25 orang menyertai Misi Bantuan Prihatin Pascabanjir di Baling dengan menjalankan aktiviti pembersihan di dua rumah yang terletak di Kampung Bendang Pecah, Baling Kedah yang terjejas teruk akibat banjir.

Misi yang diketuai Eksekutif Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Abd. Rahman Ahmad yang juga merupakan Ketua Jawatankuasa Sukarelawan Komponen Pelajar turut terdiri daripada Majllis Perwakilan Pelajar UMP, Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Takzim UMP, Sekretariat Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak (SMASS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Sekretariat Mahasiswa Kedah.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, prihatin terhadap bencana yang menimpa penduduk di sini maka pelbagai usaha sedang digerakkan oleh UMP dan Yayasan UMP dalam meringankan beban penduduk yang terkesan.

“Kumpulan pertama sukarelawan bergerak lebih awal dengan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang membawa sumbangan barangan keperluan berupa makanan, air minuman, tuala wanita, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan untuk diagihkan kepada penduduk di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai manakala kumpulan kedua pula menyusul dengan aktiviti pembersihan kediaman rumah.

“Selain membersihkan kediaman yang terjejas, pihak kami juga akan terus menghulurkan bantuan mengagihkan keperluan makanan sumbangan daripada Yayasan UMP,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP.

Katanya, pihak sukarelawan berdepan cabaran seperti tekanan air rendah yang menyukarkan aktiviti pembersihan dijalankan.

“Namun, dengan adanya bantuan daripada penduduk kampung aktiviti dapat dijalankan.

“Usaha ini akan diteruskan dengan menghantar pasukan sukarelawan untuk terus membantu membersihkan rumah penduduk di Baling fasa 2 pada 13 hingga 15 Julai depan yang melibatkan seramai 31 orang di Baling,” ujarnya.


Print   Email