UMP Galak Inovasi Teknologi Hijau, IFinog Hasil 338 Ciptaan Baharu

UMP Galak Inovasi Teknologi Hijau, IFinog Hasil 338 Ciptaan Baharu

 

Kuantan, 21 April - Program International Festival of Innovation of Green Technology (IFinog) dan Innovation, Invention, Design, Exposition (IDEAS) 2019 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya menyaksikan sebanyak 339 ciptaan baharu yang dipertandingkan termasuk penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi dan ahli akademik dalam dan luar negara termasuklah Indonesia, Sudan, Kazakhstan, Jerman dan India.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, IFinog merupakan satu platform yang disediakan untuk para pelajar sekolah, mahasiswa mahupun penyelidik untuk mempamerkan hasil inovasi mereka yang berteraskan teknologi hijau .

“Program ini dapat menghasilkan dan mengasah bakat kreativiti dan inovasi peserta melalui pertandingan inovasi dan kreativiti di samping memupuk semangat daya saing dan inovasi lestari dalam kalangan mahasiswa. Ianya juga memberi impak dan manfaat secara terus kepada komuniti dan industri melalui idea-idea atau pemikiran di luar kotak,” katanya yang hadir pada majlis penutup yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP. Turut hadir, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Dato’ Ishak bin Mokhtar, Pengerusi IFINOG dan IDEAS 2019, Abdul Syukor Abd Razak, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah, Presiden Persatuan Saintis Muda Indonesia,  Deni Irawan dan, Pengarah IFINOG 2019, Muhammad Taufiq   A.Rahman.

Menurut Abdul Syukor Abd Razak, pada kali ini UMP buat pertama kalinya juga memperkenalkan IDEAS yang merupakan satu pertandingan yang berorientasikan VIVA yang mana peserta untuk kategori ini perlu membentangkan idea mereka tentang bagaimana untuk menjadikan bumi ini lebih baik untuk didiami.

Program yang dianjurkan Kelab Eco Green Technology Innovation Society (Eco-Tech) ini turut memberi peluang sukarelawan UMP menimba pengalaman dalam penganjuran peringkat antarabangsa terutamanya dalam menyerlahkan bakat dan kemahiran mengurus serta kempimpinan. Pertandingan menyaksikan sebanyak 26 Anugerah Khas disampaikan kepada pemenang selain daripada piala pusingan, pingat dan wang tunai untuk kategori IDEAS bagi penyertaan sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan ahli akademik.

Anugerah UMP Ecopest Green Technology dimenangi mahasiswa UMP, Nurul Natasha Mamat dengan inovasinya ‘Waste to Wealth: Sustainable Chemical & Fuel From Municipal Waste’ dan Anugerah Naib Canselor berjaya dibawa pulang oleh Ibrahim Mohammed Abdullah Al-Qadri dengan inovasi ‘Evaluation of Orthosiphon Stamineus Polyphenol-rich Microcapsole’. Anugerah Terbaik IFINOG (Best of the Best) dinobatkan buat Dr. Azilah Ajit @ Abd Aziz dengan inovasi yang bertajuk ‘Novel Approach to the Detection of Adultterants in Malaysian Stingless Bee Honey”. Anugerah Terbaik Saintis Muda dimenangi Universiti Sumatera Utara (Indonesia) dan Anugerah Terbaik Idea dimenangi Maahad Tahfiz Pahang.  

Turut menang pingat emas projek Wireless Worldwide Harmonised Light Vehicle Procedure (WLTP) daripada Karlsruhe University Of Applied Sciences (Jerman), SRM Institute Of Science And Technology (India) dengan produk Green Technology Solar Paints dan Eurasian National University (Kazakhstan) dengan Inovasi Virtual Biociggarates.

Pelbagai produk inovasi yang kreatif dan menakjubkan dengan lebih 100 produk daripada pelajar sekolah. Antara pemenang pingat emas diraih SJKT Simpang Lima yang berkolaborasi dengan Little Scientist Club Tadika Manja Pintar dengan inovasi mereka ‘Low Cost Organic Enricher’ dan di peringkat sekolah menengah adalah SM Bukit Rangin dengan inovasi ‘Charica + Bio Larvicide’. Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut raih emas dengan hasil inovasi mereka iaitu ‘Characterization of Dolomite with Different Percentage of Fly Ash Replacement as Alkali Activated Materials using Synchrotron’.


Print   Email