UMP Duduki Tangga Ke-58 Terbaik Dunia Dalam Aspek Kelestarian Kampus

UMP Duduki Tangga Ke-58 Terbaik Dunia Dalam Aspek Kelestarian Kampus


KUANTAN, 31 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menduduki tempat ke-58 terbaik dunia dalam aspek kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar.Ia berdasarkan penarafan UI-Greenmetric World University Ranking, yang diterajui Universitas Indonesia, ke atas 516 universiti di 74 negara di seluruh dunia, kata Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Beliau berkata kedudukan terbaharu UMP itu meningkat setelah berada di kedudukan 189 dunia pada tahun lepas.

"Pencapaian terbaharu ini mencabar pihak pengurusan UMP untuk terus melipatgandakan usaha berkaitan bagi memastikan program penghijauan kampus terus memberikan manfaat kepada warga kerja dan mahasiswa universiti ini," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Katanya sistem penarafan itu mengandungi enam komponen utama penilaian iaitu Latar dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan iklim, Sisa, Air, Pengangkutan dan Pendidikan.

"Sebagai langkah proaktif, UMP melaksanakan satu lagi kriteria penilaian iaitu Gaya Hidup Sihat," kata Daing.

Menurutnya sehingga kini, UMP melaksanakan lebih 30 projek dan inisiatif penghijauan dengan menanam pelbagai spesies tumbuhan dan pokok termasuk Rimbunan Cendekia, Arboretum Tumbuhan Nadir dan Arboretum Bioaromatik.

Selain itu, UMP menjalankan inisiatif penghijauan bersama-sama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di tapak seluas 5.5 ekar di UMP Pekan dan kerjasama UMP dengan Jabatan Perhutanan bagi penanaman 929 pokok spesies hutan di tapak seluas 2.5 ekar dan dusun buah-buahan.

Beliau berkata usaha penghijauan UMP itu tidak hanya terhad kepada aktiviti penanaman pokok semata-mata malah melibatkan pengurusan air, sisa buangan, pengangkutan dan pendidikan.

"Untuk itu, sehingga kini UMP telah mewujudkan sebuah pusat kompos dan kitar semula, projek penggunaan semula air sisa domestik, sudut jualan dan hadiah preloved, stor berpusat sisa buangan berbahaya dan sembilan loji rawatan kumbahan," katanya.

-- BERNAMA


Print   Email