UMP tangga ke-58 terbaik dunia dalam kelestarian kampus

UMP tangga ke-58 terbaik dunia dalam kelestarian kampus

Pekan, 31 Disember - Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai pada kedudukan ke-58 terbaik di dunia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking yang diterbitkan baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, kedudukan ini menyaksikan peningkatan 131 anak tangga berbanding kedudukan 189 dunia pada tahun 2015. Initiatif penarafan yang diterajui oleh Universitas Indonesia itu berjaya menarik perhatian 516 buah universiti di 74 negara seluruh dunia yang dinilai.

“Dengan pencapaian ini mencabar pihak pengurusan UMP untuk terus melipatgandakan usaha-usaha berkaitan bagi memastikan program penghijauan kampus terus memberikan manfaat kepada warga kerja dan mahasiswa Universiti ini, khususnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan dan kesihatan mereka,” katanya yang berucap dalam Program Penanaman Pokok dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di Rimbunan Cendekia, UMP Pekan hari ni.

Penganjuran program ini UMP sebagai meneruskan inisitif penghijauan alam sekitar menerusi program penghijauan kampus dengan menanam 200 anak pokok spesis hutan. Hadir dalam program Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri (Operasi), Dato’ Mohamed Zin Yusop dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGift, Izwan Hasli Ibrahim yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Petronas ICT Sdn. Bhd bersama 150 pelajar UMP menyertai aktiviti penanaman pokok tersebut.

Universiti ini amat menghargai sokongan yang diterima daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan sumbangan anak benih pokok ini untuk menjayakan inisiatif penghijauan UMP ke arah kampus yang sihat, sejahtera dan lestari alam sekitar.

Selain itu, program penanaman pokok pada pagi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik universiti ini bukan sahaja untuk memenuhi kriteria penilaian UI GreenMetric, tetapi lebih utama merupakan sumbangan UMP ke arah usaha penghijauan persekitaran dan pemeliharaan alam sekitar.

Sehingga kini, UMP telah melaksanakan lebih 30 projek dan inisiatif penghijauan yang menyaksikan penanaman pelbagai spesis tumbuhan dan pokok. Projek dan inisiatif tersebut termasuklah Rimbunan Cendekia, Arboretum Tumbuhan Nadir, Arboretum Bioaromatik, inisiatif penghijauan bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di atas tapak seluas 5.5 ekar di UMP Pekan dan kerjasama UMP dan Jabatan Perhutanan bagi penanaman 929 pokok spesis hutan di atas tapak seluas 2.5 ekar dan dusun buah-buahan.

Usaha penghijauan UMP tidak hanya terhad kepada aktiviti penanaman pokok semata-mata, tetapi turut melibatkan pengurusan air, sisa buangan,pengangkutan dan pendidikan. Untuk itu, sehingga kini UMP telah mewujudkan masing-masing sebuah pusat kompos dan kitar semula, projek penggunaan semula air sisa domestik, sudut jualan dan hadiah preloved, stor berpusat sisa buangan berbahaya dan sembilan buah loji rawatan kumbahan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Pendaftar, Abd Hamid Majid.


Print   Email