Tanam pokok dalam melestarikan penghijauan kampus

Tanam pokok dalam melestarikan penghijauan kampus

Pekan 9 Disember - Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Pengurusan Tertinggi UMP bersama-sama menyertai program penanaman pokok sempena Mesyuarat Lembaga Pengarah UMP yang pertama kalinya diadakan di UMP Pekan hari ini.

Aktiviti penanaman pokok ini diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib. Turut sama Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ahli Lembaga Pengarah UMP iaitu Tuan Haji Ahmad Zakie Hj Ahmad Shariff, Dato’ Hj. Azmi Hj. Abu Talib, Datuk Aishah Shaikh Ahmad serta pihak pengurusan tertinggi universiti.

Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, program hari ini bukan sahaja untuk meraikan kedatangan Lembaga Pengarah UMP ke UMP Pekan malah untuk mewujudkan tanda sebagai menyokong universiti dalam aktiviti penghijauan kampus menerusi aktiviti penanaman pokok.

Sebanyak 14 pokok yang telah ditanam antaranya seperti Bungor (Lagerstroemia langkawiensis), Blackwood Tree (Dalbergia Latifolia), African Tulip (Spathodea Campanulata) dan Angsana (Pterocarpus Indicus) yang telah ditanam berhampiran dengan Canseleri Tun Abdul Razak.

Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih daripada 30 projek/inisiatif penghijauan kampus yang telah dilaksanakan disekitar kampus seperti di Rimbunan Cendekia yang menempatkan 30 pokok spesis hutan ditanam oleh Mesyuarat Naib Canselor pada pertengahan tahun lalu.

Selain itu Arboretum Tumbuhan Nadir satu kawasan yang mengumpulkan pokok –pokok buah-buahan seperti Rambai, tampoi, Setul, kundang dan banyak lagi.

Seterusnya Arboretum Bioaromatik menempatkan penanaman tumbuhan herba yang mempunyai bau dan khasiat perubatan disekitar kampus. Kawasan penanaman ini juga diwujudkan sebagai salah satu lokasi tarikan Edutourism di dalam kampus dengan menggunakan tarikan sedia ada .

Aktiviti ini juga merupakan usaha UMP untuk meningkatkan prestasi dalam UI Green Metric World University Ranking telah ditubuhkan bagi menggalakkan universiti-universiti di dunia untuk melihat dan menilai sendiri dasar dan hala tuju universiti berhubung dengan usaha untuk memerangi perubahan iklim global, katanya .


Print   Email