UMP Prihatin erat hubungan dengan komuniti Sungai Koyan

RAUB, 24 Ogos 2022 – Tiga hari berkampung Felda Sungai Koyan, Jerantut memberikan kenangan manis buat 30 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyertai Kembara UMP Prihatin bersama Komuniti Sungai Koyan, baru-baru ini.

Program yang berkonsepkan Keluarga Malaysia ini melibatkan masyarakat dari pelbagai peringkat usia dari kanak-kanak hingga dewasa.

Antara aktiviti yang dijalankan iaitu program Anak Angkat, memasak bubur lambuk, ceramah agama, kenduri rakyat, Pameran Street Science dan penyerahan sumbangan kepada 35 keluarga asnaf dan ibu tunggal di sekitar Sungai Koyan.

Menurut Pengurus Kanan, Pejabat Naib Canselor UMP merangkap Pengarah Program, Abd. Rahman Haji Safie, program ini sebagai tanda keprihatinan warga UMP dan RTM dalam menyantuni masyarakat di sekitar negeri Pahang.

“Program ini bukan sahaja memenuhi peranan universiti dalam penglibatan kemasyarakatan tetapi yang lebih utama memberi pendedahan kepada pelajar untuk berhadapan dengan keadaan sebenar dalam masyarakat.

“Sebagai sebuah salah satu universiti teknologi yang terletak di negeri Pahang, UMP turut berkongsi kepakaran yang dimililki.

“Ia selari dengan hasrat universiti dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat,” ujarnya.

Tanmbah beliau lagi, pada program kali ini, kami memasang lampu solar di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Sungai Koyan.

“Hasrat ini selari dengan matlamat UMP dalam pembanguanan lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global,” katanya.

UMP juga menjadikan aktiviti kesukarelawanan sebagai agenda penting universiti dalam melahirkan pelajar yang berketerampilan dan warga UMP yang prihatin.

Ia sebahagian daripada Projek Khidmat Komuniti UMP Lighting Up The Community ini yang merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutama rakan kerjasama, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan komuniti Sungai Koyan atas kerjasama yang sangat baik sepanjang menjayakan program ini.

Turut berlangsung penyerahan solar ini telah disampaikan oleh Jurutera Kanan Elektrik merangkap Pengurus Tenaga, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan kepada Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdi Wan Ismail.

Manakala menurut Pengerusi JKKK Sungai Koyan, Nordin Ismai, 45, beliau terharu dengan kehadiran semua pihak yang sudi memilih Sungai Koyan sebagai destinasi pelaksanaan program ini.

“Seperti yang kita ketahui, lebih dua tahun negara dilanda pandemik COVID-19, namun pada kali ini kehadiran semua pihak memberi sinar baharu kepada masyarakat di sini.

“Bagi saya, jelas terpancar kegembiraan wajah-wajah masyarakat di sini dengan menyajikan pelbagai program menarik kepada mereka.

“Selain itu, dapat meningkatkan ekonomi bagi peniaga-peniaga di sekitar Sungai Koyan ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP dan RTM serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.

Manakala menurut salah seorang pelajar, Bayu Hanafi Norhazilan, 18, yang merupakan pelajar Diploma Sains Komputer UMP, tidak menyangka baharu sahaja dua minggu menjadi pelajar baharu UMP, telah dapat menyertai program Kembara UMP Prihatin.

“Pelbagai perkara yang saya pelajari sepanjang mengikuti program ini terutama pengalaman tinggal bersama keluarga angkat iaitu Nordin Abdul Rahman dan Normah Teh yang melayan mereka seperti anak sendiri.

“Pastinya hubungan ini akan dapat diteruskan selepas ini dan akan dikenang selamanya,” katanya.


Print   Email