Kembara UMP prihatin berbakti bersama masyarakat Kapit

KAPIT, 24 Ogos 2022 - Kembara Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prihatin anjuran Yayasan UMP dengan kerjasama Institut Kemahiran MARA (IKM), Bintulu berjaya mengangkat konsep keharmonian #KeluargaMalaysia apabila disertai 52 sukarelawan yang turun padang berbakti bersama komuniti Rumah Panjang Diau Anak Lumut Pulau Raya di Kapit bermula 19 Ogos hingga 25 Ogos 2022.

Peserta terdiri daripada 30 staf dan pelajar IKM Bintulu serta 22 staf, pelajar dan alumni UMP.

Antara pengisian program ini merangkumi khidmat masyarakat, promosi pendidikan, pertandingan inovasi, demonstrasi teknologi (Arduino), pembangunan projek pertanian moden sistem fertigasi dan sistem hidroponik dilengkapi dengan tenaga solar, lampu solar, kebudayaan, sukaneka dan motivasi.

Lain-lain aktiviti menggunting rambut, pendawaian letrik dan penanaman pokok menggunakan baja ciptaan penyelidik UMP.

Para peserta tinggal bersama ibu bapa angkat masing-masing bagi merasai kehidupan sebagai penghuni di rumah panjang dan mengenali budaya Sarawak dan rumah panjang.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar, program ini mengeratkan hubungan baik dengan memberi pendedahan buat pelajar dan alumni UMP untuk berbakti dengan masyarakat luar bandar serta mengaplikasi bidang inovasi dan reka cipta di lapangan.

“Ia selari dengan hasrat universiti dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat.

UMP turut menjadikan aktiviti kesukarelawanan menjadi agenda penting universiti dalam melahirkan pelajar yang trampil dan warga UMP yang prihatin.

Lebih bermakna UMP juga menyumbang solar untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan Nanga Engcheremin bagi menerangi rumah panjang dan kegunaan penghuni asrama.

“Ia sebahagian daripada Projek Khidmat Komuniti UMP Lighting Up The Community ini yang merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP.

“Program ini diharapkan dapat menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme di Malaysia yang terdiri dengan pelbagai kaum, apatah lagi sambutan bulan kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.

UMP juga berpeluang menyampaikan sumbangan bantuan Yayasan UMP berupa selimut, toto, tilam dan lain-lain kemudahan pelajar di asrama sekolah.

Manakala menurut alumni UMP yang kini berkhidmat di IKM Bintulu, Micheal Anak Jangi, berkata, program ini merupakan program susulan dari Explore Kapit 1.0 pada tahun 2014 dan Explore Kapit 2.0 pada tahun 2017 yang diadakan di Rh. Anthony, Nanga Mujan Ili, Nanga Merit, Batang Rejang, dan Daerah Belaga.

Pihaknya berbangga apabila berjaya mengumpulkan alumni UMP untuk turut serta menjayakan program.

Pada masa yang sama, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Noormazlinah Ahmad turut memperkenalkan dan mempromosikan produk Pre-Pecto iaitu baja inulin yang digunakan sebagai nutrien kepada lebih 100 tanaman untuk dimanfaatkan di sekitar rumah panjang.

Manakala penyerahan solar telah disampaikan oleh Jurutera Kanan Elektrik, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri N61 Pelagus, Yang Berhormat Tuan Wilson Nyabong Ijang.

Hadir sama Tuai Rumah Diau Anak Lumut dan pelajar dual ijazah UMP, Syamill Irhamie Shamsudin yang mengetuai operasi pasukan sukarelawan UMP.


Print   Email