ExpoKonvo UMP buka tirai dengan program gaya hidup sihat

ExpoKonvo UMP buka tirai dengan program gaya hidup sihat

01


02
Kuantan,5 Nov-Program berkonsepkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran tentang menyintai alam sekitar membuka tirai majlis pra pelancaran Expokonvo 2016 yang bakal berlangsung sempena Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-11 pada 19 November hingga 21 November nanti yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang.

Dalam majlis ini hampir 1000 pelajar mengambil bahagian dengan berjalan sambil menghayati suasana malam dalam Earth Walk bertemakan “Life is light up innovation for earth” yang membawa mesej kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kehidupan seharian bermula dari Dataran Mekanikal berhadapan Makmal CARIFF, UMP Gambang.

Bagi pengarah program, Nur Alin Mohd Azhari dari Fakulti Sains & Teknologi Industri, 22,penganjuran kali ini sedikit sebanyak memberi kesedaran di samping mendapat manfaat dengan pengetahuan baru sambil menjayakan kempen gaya hidup sihat.

“Selain itu ianya sebagai inisiatif mahasiswa ke arah memperkasakan teknologi hijau seiring dengan definisi teknologi hijau yakni pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia,” katanya. Hadir merasmikan program Ketua Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Mohd Nazri Samsuddin dan pegawai JHEPA, Zahiruddin Mohd Zain serta staf Pusat Kesihatan Universiti, Junaidah Zakaria.

Sementara itu, Wong Wai Leong, Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian ,21 yang menyertai program berkata, program ini dapat memberi kesedaran kepada warga UMP untuk menjaga alam sekitar kerana bumi makin tenat hasil dari kerakusan manusia sendiri. Katanya, antara kriteria teknologi hijau adalah dari segi penggunaan produk yang selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan,menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan penggunan sumber yang boleh diperbaharui.

Dalam menyemarakkan kemeriahan menjelang Expokonvo UMP akan mengadakan perasmian Karnival Hidup Sihat dengan acara The Biggest Loser UMP dan The Amazing Iron Man pada 13 November ini di UMP Pekan. Turut berlangsung Pertandingan Fotografi (11 Nov), Pertandingan Memancing (12 Nov), Catur (12 Nov) dan Larian Fun Run sejauh 5 km (13 Nov)

Manakala perasmian Expokonvo bakal berlangsung dari 17 November ini di UMP Kampus Gambang yang menjanjikan kemeriahan berganda tahun ini. Turut diadakan UMPExpoRace, DIY Competition (18 Nov), Dikir Zikir (18 Nov), Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Street Soccer (19 Nov-20 Nov), Ancasa Royale Junior Chef (19 Nov) dan Sembang Warung Halal dan Music for the Heroes (20 Nov) bertempat di UMP Gambang.

 


Print   Email